Halaman

Rabu, 12 Februari 2014

Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggung Jugah

Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggung Jugah

1903 - 1973
Tun Temenggung Jugah Anak Barieng adalah sahabat baik Tunku Abdul Rahman dari bumi Kenyalang dan merupakan satu-satunya pemimpin Sarawak yang memainkan peranan utama dalam usaha penubuhan Malaysia. Beliau turut serta dalam rombongan ke London bersama-sama Tunku Abdul Rahman bagi membincangkan penubuhan Malaysia. Dengan wajah tipikal istimewa kaum Iban, beliau cukup mudah dikenali dan mendapat perhatian penduduk Sarawak ketika penubuhan Parti Pesaka Rakyat Sarawak(PESAKA) yang menjadi salah satu parti Perikatan Sarawak.

Tun Temenggung Jugah juga antara tokoh terawal menyokong cadangan penubuhan Malaysia kerana mengetahui faedah-faedah yang dapat diperoleh oleh rakyat Sarawak daripada penyatuan itu. Beliau juga antara tokoh yang terlibat dalam Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia(JPPM) bagi mendapatkan pandangan para pemimpin Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak tentang cadangan penubuhan Malaysia. Ketika pembentukan Kabinet Pertama Malaysia, beliau antara yang dilantik menjadi Menteri dalam kabinet Kerajaan Persekutuan untuk menguruskan hal-ehwal Sarawak yang melibatkan usaha-usaha peningkatkan taraf hidup, hak-hak peribumi, penyediaan prasarana dan kemudahan asas. Penglibatan aktif beliau yang begitu prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat menjadikan beliau cukup dihormati, disenangi sebagai seorang pemimpin sejati berjiwa rakyat yang terus dikenang hingga ke hari ini.

Temenggung Jugah anak Barieng dilahirkan di Ulu Kapit, Sarawak pada tahun 1903. Beliau merupakan anak Ketua Orang Iban yang mencintai tradisi kehidupan Iban serta sangat dihormati oleh kaum Iban di Sarawak. Beliau menjadi tokoh penting yang menubuhkan Parti PESAKA pada tahun 1962. Peranan beliau banyak mengangkat martabat kaum Iban dan menjadikan mereka lebih terbuka dan sedia berinteraksi dengan kaum-kaum lain ketika negara melangkah meredah arus kemajuan.

Bersama-sama dengan 4 orang pemimpin daripada kaum Iban di Sibu, Tun Jagaya yang meninggalkan Parti Negara Sarawak(PANAS) mengasaskan PESAKA untuk menentang SNAP yang mendapat sokongan kuat daripada kaum Iban Sibu. Pada 30 April 1973, PESAKA bergabung dengan Parti Bumiputera yang menubuhkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak(PBB) yang dipimpin oleh Datu Patinggi Abdul Rahman Ya'akob. Peranan beliau dalam politik Malaysia memang tidak dapat dinafikan. Beliau merupakan pemimpin Sarawak terawal yang menjadi penghubung antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat dan antara pemimpin Sarawak terawal yang duduk dalam Kabinet Malaysia.


Tun Temenggung Jugah telah membuktikan bahawa masyarakat pedalaman sepertinya boleh ke hadapan jika diberi peluang. Beliau telah membuktikan ketokohan kepimpinannya ketika menerajui parti PESAKA dan berupaya memikul tanggungjawab yang diberikan secara berkesan sebagai ahli Parlimen dan Menteri Kabinet. Malahan, banyak isu-isu yang melibatkan kaum Iban dan masyarakat pedalaman Sarawak telah disuarakan oleh beliau.

Pada tahun 1973, parti pimpinan Tun Temenggung Jugah iaitu PESAKA telah bergabung dengan parti PANAS dan BERJASA membentuk parti baru yang dipanggil Parti Bumiputera Bersatu iaitu PBB yang memerintah Sarawak. Tun Jugah telah dipilih menjadi Presiden pertama PBB dan dilantik dalam Kabinet negeri sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Sepanjang menerajui jawatan tersebut beliau memberi sepenuh tumpuan bagi meningkatkan taraf hidup kaum bumiputera Sawarak bukan hanya kaum Iban juga kaum-kaum lain termasuklah Bidayuh, Kayan, Kenyah, Penan dan lain-lain.

   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...